Monday, January 23, 2012

Sekitar Bengkel al-Quran :)


Dedahkan anak-anak dengan aktiviti yang baik

JOHOR BAHRU, 22 Jan. – Anak-anak perlu diberikan pendedahan oleh ibu bapa supaya mereka berasa seronok untuk melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang baik sepanjang proses pembesaran mereka, kata Pengerusi Kelab Nadi Al-Azim ISMA (NAZIM) Cawangan Johor, Ustazah Nurul Huda Baharin.

Justeru itu, kata Beliau, program-program yang dianjurkan oleh Kelab NAZIM ini adalah untuk memberikan peluang kepada anak-anak supaya mereka dapat meluangkan masa mereka dengan aktiviti-aktiviti yang telah disediakan.

“Program anjuran Kelab NAZIM yang diadakan ini adalah untuk memberi peluang kepada semua anak-anak supaya mereka dapat meluangkan masa dan melibatkan diri dengan semua aktiviti-aktiviti yang telah disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah oleh wartawan Media ISMA di program Bengkel Al-Quran dan Kraf Anak-Anak anjuran Kelab NAZIM Cawangan Johor disini hari ini.

Program pertama tahun 2012 anjuran Kelab NAZIM ini diadakan sebagai satu tarikan kepada anak-anak NAZIM supaya mereka lebih gemar untuk mengikuti aktiviti-aktiviti yang bakal diadakan pada sepanjang tahun.

“Jika kita melihat apa yang berlaku di sekolah-sekolah, tidak semua pelajar dapat mengikuti aktiviti yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah.

“Tetapi di Kelab NAZIM, insyaAllah kita akan pastikan anak-anak dapat mengikuti semua aktiviti-aktiviti yang telah dirancang sepanjang tahun 2012 ini,” jelas beliau lagi.

Tambah beliau, antara objektif utama program ini juga diadakan adalah untuk melahirkan anak-anak yang beriman, berilmu, cergas dan kreatif.

Oleh itu, ujar Beliau, anak-anak ini telah diberi pendedahan bahawa mereka perlu mengenali Allah dan mengenali Al Quran yang diturunkan untuk manusia terlebih dahulu.

“Pihak penganjur juga telah menyediakan satu borang tindakan lanjut amalan baik serta akhlak mulia yang perlu diisi oleh anak-anak serta disemak oleh ibu bapa mereka untuk kami kenalpasti perkembangan mereka pada minggu yang seterusnya.

“Kami mengharapkan program ini bukan seperti program-program biasa, tetapi ia adalah program pendidikan dan tarbiyah yang berterusan bahkan sehingga mereka kembali kerumah dengan penglibatan dan peranan ibu bapa mereka sendiri sebagai pembimbing,” akhiri Ustazah Nurul Huda.

Program anjuran Kelab NAZIM ini telah dihadiri kira-kira 20 anak-anak didalam lingkungan umur 9 hingga 12 tahun.

Program ini juga telah dibahagikan kepada dua sesi iaitu Bengkel Al-Quran dan Bengkel Kraf yang memerlukan anak-anak menghasilkan penanda buku mereka sendiri.

Wartawan,
Media ISMA















No comments: